Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan beliau dan 13 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan.
Beliau menegaskan masih menyokong kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ismail Sabri, khabar angin mengenai perkara ini sudah lama tersebar, namun beliau tidak mahu melayan kerana ia tidak benar. Bagaimanapun, fitnah tersebut berterusan dalam bentuk tulisan dan video, menyebabkan beliau tampil menafikannya.
Beliau juga menyifatkan penyebaran dakwaan ini sebagai usaha pihak tertentu untuk merosakkan imejnya dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan Ahli Parlimen BN. Walau bagaimanapun, sokongan Ahli Parlimen BN terhadap kerajaan terbukti melalui undi usul percaya serta sokongan terhadap setiap rang undang-undang yang dibentangkan.
“Apabila dibentangkan pada peringkat awal dulu, seluruh 30 Ahli Parlimen BN menyokong penuh usul yang dibawa dan setiap kali rang-rang undang dibawa, kita sokong sepenuhnya,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Kadir turut menafikan sebarang usaha menggugat perpaduan dalam parti.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan kesihatannya semakin baik, walaupun tidak berkesempatan mengunjungi bazar Ramadan seperti kebiasaannya. Beliau turut menghargai doa dan sokongan rakyat terhadapnya.
Sumber: Sinar Harian








