Seorang bekas komander kanan Islamic Revolution Guards Corps (IRGC) mendakwa Iran mempunyai maklumat risikan terperinci termasuk lokasi mesyuarat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Yahya Rahim-Safavi dalam wawancara bersama televisyen negara yang disiarkan lewat Isnin berkata, pangkalan data risikan Iran telah ‘dilengkapkan’ dan mampu menjejaki pergerakan kepimpinan Israel.
Kenyataan tersebut hadir hanya tiga hari selepas Israel dan Amerika Syarikat didakwa melancarkan serangan udara yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei, dalam serangan yang menyasarkan pejabatnya di tengah Tehran.
Rahim-Safavi yang sekian lama berkhidmat sebagai penasihat kanan ketenteraan kepada Khamenei berkata, sistem risikan Iran kini memantau sepenuhnya aktiviti dan lokasi yang dikawal Amerika Syarikat serta Israel di sekitar rantau itu.
Dakwa Trump ‘diperalatkan’ Netanyahu
Mengulas punca konflik terbaharu selepas gencatan senjata pada Jun 2025, Rahim-Safavi mendakwa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah dipengaruhi Netanyahu melalui maklumat yang disifatkannya sebagai tidak tepat mengenai kekuatan ketenteraan Iran.
“Trump telah menjadi alat di tangan Netanyahu, mereka menyangka Iran lemah selepas perang 12 hari, sedangkan kami menjadi puluhan kali lebih kuat,” katanya.
Beliau turut mendakwa Iran telah meningkatkan keupayaan pertahanan serta kemampuan peluru berpandu dan dron secara besar-besaran, walaupun pada masa sama menyatakan komitmen terhadap rundingan isu program nuklear negara itu.
Baca juga:
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
- Kekeliruan nama sama di PIK, Pagi Sore Kemang Hijau perjelas situasi
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang
Serangan ke lokasi kosong?
Rahim-Safavi juga mendakwa Iran telah mengosongkan pusat peluru berpandu sebelum gelombang serangan terkini. Menurutnya, serangan udara Amerika Syarikat dan Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini hanya mengenai lokasi kosong.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sistem politik dan ketenteraan Iran kekal tersusun dan mampu berfungsi walaupun berlaku kehilangan kepimpinan tertinggi. Katanya, pengganti Khamenei akan dipilih dalam masa terdekat oleh Assembly of Experts.
Sumber: Press TV









