Seorang lelaki di India mengalami kejadian tidak diduga apabila iPhone miliknya jatuh ke dalam kotak derma di sebuah kuil. Namun, permintaannya untuk mendapatkan semula telefon tersebut ditolak kerana pihak kuil mendakwa ia kini ‘milik dewa’.
Difahamkan, insiden itu berlaku di kuil Arulmigu Kandaswamy di Thiruporur, Chennai, India. Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai, Dinesh, sebelum itu sedang membuat persembahan dan telefonnya secara tidak sengaja terjatuh ke dalam kotak derma.
Ketika Dinesh meminta pihak kuil memulangkan telefon itu, mereka menolak dengan sopan dan menjelaskan bahawa barangan yang dimasukkan ke dalam kotak derma dianggap sebagai ‘milik dewa’. Mereka membenarkan Dinesh mengambil data daripada telefon tersebut, namun menegaskan telefon itu akan kekal menjadi hak milik kuil.
Menteri sokong keputusan kuil
Tidak berpuas hati, Dinesh mengadu kepada Menteri Hal Ehwal Agama Hindu dan Amal Kebajikan, PK Sekar Babu, untuk meminta telefon tersebut dipulangkan. Malangnya, menteri pula menyokong keputusan pihak kuil.
Jelas Sekar, mengikut amalan dan tradisi kuil, sebarang barangan yang dimasukkan ke dalam kotak derma, sama ada sengaja atau tidak, akan menjadi sebahagian daripada ‘akaun dewa’.
“Sebarang persembahan yang dimasukkan ke dalam kotak derma dianggap sebagai milik dewa, dan peraturan tidak membenarkan ia dipulangkan,” katanya.
Namun, beliau menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bentuk pampasan lain bagi membantu Dinesh.
Kes serupa pernah berlaku
Dalam insiden lain, seorang wanita kehilangan rantai emas apabila ia terjatuh ke dalam kotak derma di sebuah kuil lain ketika dia sedang menanggalkan kalungan bunga untuk persembahan. Dalam kes tersebut, pengerusi kuil menggantikan rantai itu daripada wangnya sendiri selepas kejadian itu disahkan melalui rakaman kamera keselamatan.
Mengikut undang-undang di India, barangan yang dimasukkan ke dalam kotak derma kuil, sama ada sengaja atau tidak, tidak boleh dikembalikan. – Agensi
Telefon jatuh dalam kotak derma kuil, pihak kuil enggan pulangkan kerana dianggap ‘milik dewa’








