Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keriangan di sebuah taman tema bertukar kecoh apabila permainan ekstrem yang membawa puluhan pengunjung tiba-tiba patah dua ketika beraksi di udara, menyebabkan 23 orang cedera termasuk tiga yang parah.
Insiden mencemaskan itu berlaku di Taman Tema Green Mountain di Taif, Arab Saudi pada Khamis, melibatkan permainan popular dikenali sebagai ‘360 Degrees’. Ketika sedang berputar pada kelajuan tinggi, struktur permainan itu dilaporkan menghentam salah satu tiangnya sendiri sebelum terbelah dua dan menjunam ke tanah.
Baca juga:
- Lawatan singkat Messi undang kemarahan peminat
- ‘Harga diri bangsa kita juga tinggi’ – Ketua DPD sokong keputusan Prabowo tolak bantuan luar
- ‘Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak’ – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah
Jeritan keseronokan terus bertukar jadi jeritan ketakutan
Rakaman kejadian menunjukkan permainan itu mencapai puncak ketinggian sebelum terdengar bunyi retakan kuat. Saat ia berayun semula ke bawah, kerangka besarnya patah dua, lalu jatuh menjunam sambil menghasilkan gegaran kuat kepada para penumpang.
“Tiangnya melantun semula dengan kelajuan tinggi sebelum terhempas,” kata seorang saksi yang turut berada di lokasi.
Beberapa objek kelihatan tercampak jauh sewaktu hentaman berlaku. Mujur sebahagian besar penumpang masih terikat dengan tali keselamatan ketika tragedi itu berlaku, mengelakkan lebih banyak kecederaan serius.
Namun begitu, tiga pengunjung dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke hospital, manakala mangsa lain menerima rawatan kecemasan di lokasi. Keadaan menjadi begitu kritikal sehingga pihak berkuasa perubatan tempatan mengaktifkan kod kecemasan ‘Code Yellow’.
Taman tema digantung operasi, siasatan segera dimulakan
Pihak berkuasa Arab Saudi kini menjalankan siasatan penuh terhadap kejadian itu, manakala operasi taman tema berkenaan telah dihentikan buat sementara waktu bagi tujuan keselamatan dan siasatan lanjut.
Tragedi serupa pernah berlaku di Indonesia
Insiden mengejutkan ini mengingatkan kembali kepada tragedi di Indonesia pada April lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tercampak dari permainan ‘Pendulum 360’ di Jatim Park, Batu.
Ketika itu, permainan sedang berpusing secara penuh dan berhenti seketika di bahagian atas, meninggalkan para penumpang tergantung terbalik. Namun, remaja berkenaan tergelincir dari tempat duduknya dan hanya sempat berpaut pada palang sebelum jatuh dari ketinggian hampir dua meter.
Mangsa mengalami dua keretakan pada tangan dan satu pada kaki sebelum dikejarkan ke hospital. Polis Indonesia kemudiannya mengarahkan taman tema berkenaan menggantung sementara operasi permainan terbabit.
Sumber: Daily Mail








