'Insiden sepakan penaliti adalah tepat & pengadil S.Logeswaran dipilih berdasarkan prestasi' - FAM - The Reporter

‘Insiden sepakan penaliti adalah tepat & pengadil S.Logeswaran dipilih berdasarkan prestasi’ – FAM

Sumber gambar: Utusan Malaysia

Pentas akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC telah memberikan kemenangan buat pasukan JDT dengan kemenangan 3-1. Namun begitu, pelbagai spekulasi timbul serta bantahan yang disuarakan oleh peminat bola khususnya peminat bola pasukan negeri Terengganu yang turut mempertikaikan tindakan pengadil yang dikatakan ‘bias’ selain tidak berpuas hati dengan sepakan penalti yang diberikan kepada JDT.

Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj Rahman menyatakan faktor kekangan menyebabkan enam pengadil di bawah FIFA tidak dapat mengendalikan Final Piala Malaysia 2023 seperti yang disuarakan oleh peminat-peminat bola sebelum ini.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan enam Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengendalikan Final Piala Malaysia 2023, Johor Darul Ta’zim lwn Terengganu FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat, 8 Disember lalu antaranya disebabkan beberapa faktor dan kekangan.

“Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.

“Baki dua lagi Pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil,” tulisnya.

S.Logeswaran dipilih berdasarkan prestasi

Pemilihan S.Logeswaran dipilih berdasarkan prestasi yang ditunjukkan selain beliau merupakan pengadil yang berkecuali.

“Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.

“Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A,” katanya.

Keputusan penalti dibuat adalah tepat

FAM turut mengulas pertikaian penalti yang diberikan kepada pasukan JDT.

“Sementara itu, berhubung beberapa keputusan pada aksi final tersebut yang dipertikaikan, keputusan-keputusan yang dibuat itu adalah tepat selepas penelitian rakaman video dilakukan.

“Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama Johor Darul Ta’zim pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain Johor Darul Ta’zim dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.

“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain Johor Darul Ta’zim terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC.

“Dalam satu lagi isu berkaitan, FAM tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu,” katanya.

Sumber: Football Association Malaysia

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!