'Insiden pergaduhan di Balai Polis Meru kes terpencil' - Saifuddin | The Reporter

‘Insiden pergaduhan di Balai Polis Meru kes terpencil’ – Saifuddin

Saifuddin ulas insiden di Balai Polis Meru
Gambar: The Vibes, tangkap layar video tular

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu merupakan kes terpencil dan tidak memerlukan penilaian semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di balai polis.

Menurut beliau, pasukan polis sememangnya terlatih untuk mengendalikan situasi sedemikian serta mampu mengawal keadaan sekiranya berlaku kekecohan di premis balai polis.

Namun, beliau menyuarakan kekesalan terhadap pelaporan tidak tepat di media sosial yang didakwa menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di balai polis.

Cerita sebenar insiden itu ujarnya berbeza dengan sebahagian hantaran di media sosial yang mendakwa sekumpulan lelaki menyerang balai polis.

Menurutnya, kejadian sebenar melibatkan pergaduhan antara dua kumpulan di luar balai polis sebelum salah satu kumpulan masuk ke balai bagi membuat laporan, manakala kumpulan satu lagi turut masuk untuk menghalang laporan tersebut daripada dibuat.

“Balai polis berfungsi menerima aduan. Apabila satu pihak masuk untuk membuat laporan, polis perlu membuka kaunter dan menerima aduan.

“Ketika aduan dibuat, satu lagi pihak masuk dan cuba menghalang. Tugas polis ketika itu ialah mengawal keadaan dan anggota polis sememangnya terlatih untuk menangani situasi sedemikian,” katanya.

Baca juga:

Beliau turut menegaskan bahawa pelaporan berita yang tepat dan sahih amat penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, semua balai polis di negara ini berpandukan garis panduan seperti Inspector-General of Police Standing Orders (IGPSO) dalam menguruskan operasi dan keselamatan.

“Ini hanyalah satu kes terpencil dan kita tidak boleh menilai keseluruhan tahap keselamatan balai polis hanya berdasarkan satu insiden,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata siasatan mendapati kekecohan berkenaan dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan.

Beliau berkata, kesemua individu yang terlibat juga didapati saling mengenali antara satu sama lain dan dipercayai mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.

Susulan kejadian itu, polis menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Akta Polis 1967 selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts