Pergaduhan di Balai Polis Meru: Lima lelaki ditahan | The Reporter

Pergaduhan di Balai Polis Meru: Lima lelaki ditahan

Lima lelaki ditahan polis selepas pergaduhan tercetus di Balai Polis Meru, Klang
Tangkap layar video tular insiden kejadian.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis menahan lima lelaki tempatan selepas terlibat dalam insiden kekecohan dan pergaduhan di perkarangan Balai Polis Meru pada malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 malam ketika tiga lelaki tempatan hadir ke balai berkenaan untuk membuat laporan polis.

Menurutnya, secara tiba-tiba lima lelaki lain datang menghampiri kumpulan tersebut sebelum berlaku pertengkaran yang mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

“Dalam kejadian itu, salah seorang daripada kumpulan lima lelaki terbabit dipercayai memukul pengadu menggunakan sebatang besi. Kekecohan yang berlaku turut menyebabkan sebuah televisyen milik balai rosak sebelum semua suspek melarikan diri dari lokasi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148, Seksyen 427 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Baca juga:

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Klang dan diperintah tahanan reman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Polis kini giat mengesan beberapa lagi individu yang telah dikenal pasti terlibat dalam kejadian tersebut, dengan punca kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, polis memandang serius kejadian berkenaan kerana melibatkan gangguan ketenteraman di premis balai polis dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Klang Utara atau balai polis berhampiran.

Related Posts