Dua hari lalu tersebar di media sosial seorang individu mendakwa dia dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya bahawa masalah sinus yang dihadapinya berpunca dari minuman Milo, mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Individu bernama Nafyamran sebelum itu memuat naik perkongsiannya di Instagram mengenai masalah sinus yang dihadapinya telah menyebabkan penglihatannya kabur 90%. Ekoran dari masalah itu, dia terpaksa menjalani pembedahan sinus pada 17 April lalu.
Sementara itu, Doktor Ezairy M. Sallih, berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut dan menjelaskan minuman milo tidak bersalah.
BETULKAH pesakit sinusitis tidak boleh langsung mengambil MILO sepanjang hidup mereka? Perlu dibuang daripada hidup mereka ke?
1. Sinusitis boleh berlaku disebabkan oleh banyak sebab. Beberapa punca alahan atau allergen memang perlu dielak oleh pesakit resdung.
2. Makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit resdung sebahagian besarnya bergantung kepada pesakit itu sendiri.
3. Apabila seseorang mengalami jangkitan sinus yang akut, mereka perlu menjauhi beberapa perkara. Ini bergantung kepada pesakit sendiri. Umumnya makanan dan minuman seperti alkohol, coklat, produk tenusu, gula dan seumpamanya perlu dikurangkan sehingga jangkitan telah berlalu selepas beberapa minggu. Ini kerana jenis makanan ini boleh membantu meningkatkan pengeluaran lendir yang mengakibatkan keadaan sinus yang berpanjangan.
4. Jika masalah sinus adalah kronik, orang yang dijangkiti perlu mengelakkan jenis makanan untuk tempoh yang lebih lama atau bahkan mengelakkan pengambilan untuk sepanjang hidup mereka untuk mengurangkan kesan jangkitan sinus yang serius, berulang. Ia seperti makanan laut seperti udang, ketam, sotong, sesetengah ikan, ayam dan telur.
5. Perlu diingatkan. TIDAK semua pesakit akan mengalami alahan pada jenis makanan yang sama.
6. Ada pesakit menjadi teruk resdungnya apabila terdedah kepada habuk. Ada tak boleh kena pada aircond. Ada pula alah pada sotong. Ada pula yang tak ada masalah pada ikan, ayam dan coklat. Setiap kita tak sama.
7. Ubah paradigma dan pemahaman kita. Pak Mail tak boleh makan udang, tak semestinya Pak Atan tak boleh juga. Mereka sama, tapi mungkin tak serupa.
Dr. Ezairy M.Sallih
#doktorhidungtelingatekak
Boleh nak minum milo. Kena berpada-pada. Beringat-ingatlah ya. Makanan minuman bergula lagi berbahaya.