Indonesia tolak tawaran RM100 juta Apple, tuntut pelaburan lebih besar - The Reporter

Indonesia tolak tawaran RM100 juta Apple, tuntut pelaburan lebih besar

Indonesia tolak tawaran Apple
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Indonesia masih belum berpuas hati dengan tawaran pelaburan Apple, walaupun syarikat itu telah meningkatkan jumlah kepada $100 juta (RM470 juta) dalam usaha menarik balik larangan penjualan siri iPhone 16. Indonesia dilaporkan menuntut pelaburan yang lebih besar sebelum memberikan kelulusan.

Pada mulanya, Apple menawarkan pelaburan tambahan sebanyak $10 juta (RM47 juta) selepas larangan mula berkuat kuasa pada 28 Oktober 2024. Namun, tawaran itu dianggap terlalu kecil dan ditolak oleh kerajaan Indonesia.

Kemudian, pada 19 November, Apple meningkatkan tawarannya kepada $100 juta (RM470 juta) sebagai usaha membuktikan komitmen mereka terhadap keperluan pelaburan yang diminta oleh pihak kerajaan.

Larangan ini berkaitan dengan Undang-Undang Tahap Kandungan Dalam Negeri Indonesia, yang mengkehendaki telefon pintar mengandungi sekurang-kurangnya 40% komponen buatan tempatan. Apple sebelum ini memenuhi syarat ini melalui skim pembangunan inovasi, tetapi pelaburan sebelumnya dikatakan tidak mencapai jumlah yang dijanjikan iaitu $109.6 juta (RM515.12 juta).

Pelaburan $100 juta (RM470 juta) yang ditawarkan Apple itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, melibatkan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan serta akademi pemaju di Bali dan Jakarta.

Selain itu, Apple turut merancang untuk memulakan pengeluaran komponen mesh AirPods Max di Bandung pada Julai 2025. Walaupun begitu, kerajaan Indonesia mahu Apple memberikan komitmen yang lebih besar dalam aspek pembuatan di negara itu.

Jurucakap kerajaan, Febri Hendri Antoni Arif, menjelaskan kerajaan Indonesia berharap Apple dapat mendapatkan komponen daripada pembekal tempatan bagi meningkatkan penglibatan industri domestik. Menurutnya, langkah ini akan membawa kesan positif terhadap peluang pekerjaan di negara itu.

Rundingan ini berlaku susulan lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, ke Indonesia pada April 2024. Ketika itu, beliau telah bertemu dengan Presiden Joko Widodo dan menyatakan Apple akan mempertimbangkan Indonesia sebagai rakan pengeluar di masa hadapan. Namun, larangan terhadap siri iPhone 16 tetap dilaksanakan sehingga kini. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!