Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Indeks jenayah curi kereta, bunuh dan rogol di Kelantan dilaporkan meningkat bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, berbanding tahun 2022.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes rogol meningkat kepada 108 kes (82 kes 2022), manakala jenayah bunuh sebanyak 9 kes berbanding 6 kes pada tahun lalu.
Selain itu, jenayah mencuri kereta pula meningkat kepada 119 kes berbanding 97 kes 2022.
Bagaimanapun, statistik keseluruhan kes jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus atau pengurangan 164 kes dengan rekod 1,688 kes 2023 berbanding 1,852 kes 2022.
“Bagi jenayah kekerasan melibatkan rogol dan bunuh meningkat, tetapi samun berkumpulan serta bersenjata turun kepada 38 kes berbanding 57 kes. Manakala samun bersenjata api sebanyak 51 kes berbanding 55 kes sebelum ini.
“Sementara itu, jenayah kekerasan melibatkan kecederaan turun kepada 122 kes daripada 138 kes.
“Bagi jenayah harta benda pula hanya curi kereta meningkat. Manakala curi motosikal menurun kepada 472 kes daripada 497 kes,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya akan memberikan pemerhatian khusus kepada kes-kes jenayah seksual yang berlaku di Kelantan kerana banyak melibatkan mangsa bawah umur dan pelajar sekolah.
Sumber: Sinar Harian