Perbualan dalam gambar di atas telah menjadi kebiasaan di kalangan ibu bapa. Rata-ratanya kurang berpengetahuan mengenai pentingnya imunisasi kepada kanak-kanak, menyebabkan mereka lebih banyak percaya kepada ‘hearsay’ atau informasi yang tidak tepat disebarkan di media sosial. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit yang juga antara penyebab utama berlakunya kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak.
Imunisasi dapat mencegah dan mengurangkan kadar kejadian penyakit cegahan vaksin dan sangat kos efektif. Komplikasi akibat penyakit cegahan vaksin dalam kalangan kanak-kanak seperti kecacatan kekal dan kematian dapat dielakkan. Sistem imun badan yang dibina melalui imunisasi dapat mencegah atau mengurangkan kesan sampingan atau komplikasi yang teruk akibat jangkitan penyakit cegahan vaksin.
- Imunisasi tidak berkesan.
- Anak tidak memerlukan imunisasi kerana penyakit berjangkit tidak selalu berlaku.
- Anak boleh dilindungi dari penyakit berjangkit dengan menjauhkan diri mereka daripada kanak-kanak yang lain.
- Imunisasi adalah tidak selamat – risikonya lebih tinggi berbanding penyakit itu sendiri.
1. Tibi (Tuberculosis) adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang menjangkiti saluran pernafasan. Penyakit ini tersebar melalui titisan (melalui udara) semasa batuk atau bersin oleh orang yang dijangkiti penyakit tibi. Tibi mengakibatkan radang paru-paru, radang selaput otak, jangkitan pada organ lain seperti usus, tulang, sendi serta buah pinggang dan ia boleh membawa maut.
2. Hepatitis B disebabkan oleh virus Hepatitis B yang dijangkiti dari seorang ke seorang yang lain melalui darah yang tercemar secara pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan. Hepatitis B boleh menyebabkan penyakit hati kronik dan kanser hati.
3. Difteria adalah radang pada selaput hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh toksin (racun) yang dihasilkan oleh bakteria Difteria. Difteria boleh mengakibatkan kesukaran bernafas, masalah jantung, saraf dan boleh menyebabkan kematian.
4. Pertussis (Batuk kokol) adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria pertussis yang menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan. Ia boleh menyebabkan batuk teruk, kerap muntah, radang paru-paru, epilepsi dan jika tidak dirawat boleh membawa maut.
5. Tetanus (Kancing gigi) boleh berlaku apabila terdapat luka yang tercemar dengan spora tetanus didapati di dalam tanah. Ia boleh menyebabkan kekejangan otot yang membawa kesakitan yang kuat, kesukaran bernafas dan boleh membawa maut.
6. Polio disebabkan oleh virus polio yang menyerang sistem saraf. Penyakit ini menular melalui tangan, makanan dan air yang tercemar dengan najis dari orang yang dijangkiti penyakit polio. Penyakit ini boleh menyebabkan lumpuh dan mengakibatkan ketidakupayaan fizikal atau kematian.
7. Hib disebabkan oleh bakteria Haemophilus influenzae type b. Penyakit ini boleh mengakibatkan kanak-kanak menderita radang paru-paru (pneumonia, radang epiglotis, bengkak saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan boleh menyebabkan kematian. Komplikasi lain seperti ketidakupayaan, pekak atau kerosakan otak yang kekal.
8. Measles (Campak) boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan ia boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti radang paru-paru, jangkitan otak (encephalitis), sawan, jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak, jangkitan pada mata jika tidak dirawat boleh menyebabkan buta serta kematian.
9. Beguk (Mumps) disebabkan oleh virus Mumps. Tanda-tandanya adalah bengkak pada kelenjar air liur. Mumps menyebabkan radang otak (encephalitis), radang buah zakar (orchitis) yang boleh menyebabkan kemandulan dan pekak.
10. Rubella adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Rubella. Kesannya pada ibu mengandung yang tidak menerima imunisasi rubella akan menyebabkan bayi yang dilahirkan cacat seperti katarak (buta), pekak, jantung berlubang, terencat tumbesaran dan terencat akal.
Imunisasi adalah satu cara melindungi kanak-kanak daripada beberapa penyakit tertentu secara mudah, selamat dan berkesan. Ini dilakukan melalui pemberian vaksin bagi pembentukan antibodi untuk membina daya ketahanan badan. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat suntikan imunisasi bagi memastikan mereka sihat dan bebas dari penyakit berjangkit.
#JanganLupaCucuk
#LengkapkanImunisasi