Mahkamah Majistret Kota Bharu mendenda seorang imam sambilan sebanyak RM8,000 selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya yang sedang mandi pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh kira-kira pukul 6.30 petang pada 24 Mac lalu, dengan tujuan mengaibkan kehormatan mangsa berusia 27 tahun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda, namun tertuduh telah menjelaskan bayaran tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah memohon hukuman setimpal, manakala pihak pembelaan merayu denda minimum atas alasan tertuduh insaf serta menanggung keluarga.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Mahkamah dalam penghakimannya menegur perbuatan tertuduh yang disifatkan mencemarkan maruah keluarga, lebih-lebih lagi dengan latar belakangnya sebagai imam dan berpendidikan undang-undang.
Menurut fakta kes, mangsa menyedari kewujudan telefon bimbit yang merakamnya di bilik air sebelum mendapati ia milik abang iparnya dan bertindak membuat laporan polis kerana bimbang rakaman itu disebarkan.
Sumber: Kosmo








