Imam muda Masjid Nurul Falah, Felda Redong, Mohd Fitri Md Said, 38, dan anak perempuannya, Nurin Insyirah, maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Labis-Segamat, berhampiran Kampung Kwongsai, semalam.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditemui tersepit di bawah kenderaan yang terbalik.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Zainal Abidin Che Deraman berkata, terdapat lima mangsa dalam kenderaan tersebut dan tiga berjaya keluar sebelum pasukan bomba tiba.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan peralatan hidrolik untuk menstabilkan kenderaan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa yang tersepit menggunakan hydraulic ramp dan lain-lain peralatan khas bagi menstabilkan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kereta,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh rakan-rakannnya di media sosial.
Sumber: Harian Metro, Kosmo








