Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, meluahkan rasa kesal selepas menandatangani dokumen menolak bedah siasat terhadap jenazah anaknya, dengan alasan ketika itu beliau berada dalam keadaan terkejut dan panik.
Noraidah Lamat, 45, berkata, tiada penjelasan jelas diberikan kepadanya mengenai prosedur berkenaan, selain tidak pernah berdepan situasi sebegitu sebelum ini.

“Tiada penjelasan yang jelas dan kami tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat.
“Jika tahu, kami tidak akan menurunkan tandatangan untuk menolak bedah siasat itu,” katanya dalam satu komen di Facebook.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun Facebook bernama “Noie AiDa” yang memuat naik komen tersebut adalah milik Noraidah.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, memaklumkan pasukan Task Force yang memulakan siasatan pada 11 Ogos lalu mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur apabila pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelianya kerana tiada pengawasan sewajarnya. Namun, katanya, terdapat persetujuan awal daripada ibu mangsa untuk menolak bedah siasat, direkodkan melalui dokumen rasmi hospital yang turut ditandatangani doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat.
Sumber: Harian Metro








