CHINA – Padah menyimbah air ke atas rakan sekolah, seorang ibu nekad menghukum anak lelakinya dengan melakukan perbuatan yang sama kepadanya.
Video yang dimuat naik di Douyin itu menunjukkan, seorang kanak-kanak lelaki berbaju biru berdiri di luar sambil diperhatikan oleh ibunya dari tingkat dua.
Wanita itu kemudian menyimbah sebesen air ke atas anaknya, menyebabkan kanak-kanak itu terkejut, menangis dan menjerit sebagai tanda protes.
Tangisannya itu bagaimanapun tidak melemahkan ibunya yang kembali ke dalam untuk mengambil sebesen air dan menyimbah anaknya buat kali kedua sehingga basah kuyup.
Pada simbahan yang ketiga, kanak-kanak itu merayu agar ibunya berhenti berbuat demikian. Tetapi ibunya menjawab, “Eh? Tadi kata seronok simbah air, ibu pun nak main juga. Sekarang dah tahu apa yang kawan sekelas rasa bila disimbah dengan air? Tak fikir ke perasaan dia?”.
Difahamkan, si ibu telah mendapati panggilan telefon dari guru yang memaklumkan anaknya membuang besen air dari tingkat tiga dan terkena pada beberapa murid di tingkat bawah. Selain itu, anaknya juga membuang kotak susu dari aras yang sama.
Selepas kanak-kanak itu pulang ke rumah, dia disoal oleh ibunya mengenai kejadian itu dan memberi alasan dia telah melihat rakannya terdahulu melakukan perbuatan tersebut yang dilihat seperti menyeronok, lalu dia melakukan perbuatan yang sama.
“Saya hanya mahu dia memahami apa yang dirasai oleh mangsa akibat perbuatannya,” katanya.
Cara wanita berkenaan mengajar anaknya mendapat pujian yang luar biasa daripada netizen.
“Secara peribadnya saya rasa cara ibu ini mengajar anaknya sangat berkesan,” katan netizen. – Agensi