Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang usahawan dalam industri bakeri berkongsi pengalaman berdepan dengan seorang ibu yang menuntut gaji anaknya, meskipun pemuda itu hanya bekerja selama empat hari sebelum menarik diri tanpa notis.
Menurut pemilik bakeri, remaja terbabit telah menghadiri temuduga dan bersetuju dengan semua syarat yang ditetapkan, termasuk tempoh kontrak dua bulan bagi projek sempena Hari Raya serta peraturan bahawa gaji hanya dibayar selepas tempoh percubaan seminggu.

“Bukan senang nak train orang baru yang tiada pengalaman langsung, jadi kami dah bagitahu awal-awal, kalau tarik diri dalam tempoh percubaan (satu minggu), tak akan dapat gaji,” jelasnya.
Namun, selepas hari keempat, dia mengambil keputusan untuk berhenti dengan alasan kerja terlalu penat dan perlu berdiri lama. Tidak lama kemudian, ibunya beberapa kali menghubungi pihak berkenaan untuk menuntut gaji anaknya.
Dalam perbualan WhatsApp yang dikongsikan, wanita itu bertanya, “Assalamualaikum. Saya nak tanya gaji anak saya. Bila boleh dapat?”
Pemilik bakeri cuba menjelaskan bayaran hanya diberikan berdasarkan projek yang telah dimulakan, bukan secara harian. Namun, wanita terbabit terus menekan dengan menyebut Akta Kerja dan memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Kenapa anak kerja 4 hari gaji tak bayar? Ikut Akta Buruh wajib bayar walaupun sehari dia bekerja. Kalau tak bayar saya bawa perkara ni ke tengah. Kerja lebih masa sepatutnya ada OT.”




Walaupun penerangan sudah diberikan, wanita itu tetap menuntut gaji berdasarkan kadar RM1,500 sebulan (tanpa mengambil kira elaun dan OT), lalu meminta bayaran untuk empat hari bekerja.
Ketika pemilik bakeri meminta bekas pekerja menjelaskan semula kepada ibunya mengenai persetujuan awal yang dibuat semasa temuduga, remaja itu hanya menjawab, “Apa eh? Tak ingat. Banyak sangat benda nak kena ingat.”

Insiden ini mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai sikap pekerja muda dan peranan ibu bapa dalam urusan pekerjaan anak-anak mereka.
Ada yang berpendapat pihak bakeri sudah bersikap adil dengan menjelaskan semua terma lebih awal, sementara yang lain melihatnya sebagai pengajaran bahawa tidak semua pekerjaan sesuai untuk mereka yang kurang pengalaman dan daya tahan kerja.








