Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan oleh ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, bagi menarik balik pertuduhan mengabaikan anak mereka.
Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh, semasa prosiding hari ini.
Menurut Raja Zaizul Faridah, dokumen berkaitan, termasuk laporan forensik serta dua cakera padat (CD), akan diserahkan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum perbicaraan bermula. Tarikh serahan dokumen ditetapkan pada 10 Januari 2025, sementara tarikh tambahan perbicaraan dijadualkan pada 10 hingga 14 Mac tahun depan.
Peguam baharu, fokus bersihkan nama
Peguam baharu pasangan itu, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris, yang dilantik semalam, menyatakan anak guam mereka menerima keputusan AGC dan optimis untuk meneruskan perbicaraan.
“Kedua-dua tertuduh mahu membersihkan nama mereka dan berharap dapat menghadapi perbicaraan pada tarikh yang telah ditetapkan,” kata Haresh.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon penangguhan bagi tarikh perbicaraan awal Januari kerana terdapat kes lain yang sedang berlangsung di Negeri Sembilan.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 29 tahun, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn, yang berusia enam tahun. Kesalahan tersebut didakwa berlaku antara 5 hingga 6 Disember 2023 di sekitar kawasan PJU Damansara Damai, di mana tindakan mereka dikatakan boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Kes ini didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, setelah dilaporkan hilang sehari sebelumnya. Bedah siasat menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa, dipercayai akibat mempertahankan diri sebelum kematian.
Sumber: Harian Metro