Hukuman penjara 3 bulan dibatalkan, duda curi pisang dibebaskan selepas 10 hari | The Reporter

Hukuman penjara 3 bulan dibatalkan, duda curi pisang dibebaskan selepas 10 hari

Hukuman penjara 3 bulan dibatalkan
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Tinggi Muar hari ini mengetepikan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang duda berusia 35 tahun yang didapati bersalah mencuri setandan pisang, menggantikan hukuman itu dengan penjara selama 10 hari sahaja. Keputusan ini membolehkan tertuduh, Muhammad Fadil Ismail, dibebaskan hari ini.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dalam penghakiman ringkasnya menyatakan bahawa hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat sebelum ini adalah terlalu berat untuk kesalahan tersebut.

“Mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan. Oleh itu, hukuman dipinda kepada penjara 10 hari bermula dari tarikh tangkapan,” katanya dalam prosiding semakan kehakiman yang dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes ini bermula apabila Muhammad Fadil, seorang bapa tunggal kepada tiga anak, ditangkap pada 4 Januari setelah dilihat mencuri setandan pisang jenis rastali milik seorang pekebun berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit. Kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kebun berkenaan setelah pemiliknya menyedari kecurian pisang sering berlaku.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas Fadil setelah dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya.

Tertuduh, yang bekerja sebagai kelindan lori, tidak diwakili peguam dalam perbicaraan. Dalam prosiding hari ini, beliau memberi jaminan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Keputusan Mahkamah Tinggi ini mendapat perhatian ramai, dengan sebahagian masyarakat mempersoalkan kewajaran hukuman asal yang dianggap terlalu keras untuk kesalahan kecil seperti ini.

Sumber: Harian Metro, Buletin TV3, Berita Harian (SG)

Related Posts