Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Azilah Hadri yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia 18 tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Hukuman gantung bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu ditolak dan digantikan dengan hukuman penjara dan sebatan.
Dalam pada itu, bapa kepada Altantuya menyokong permohonan semakan hukuman mati yang difailkan oleh bekas komando polis itu diganti kepada pemenjaraan.
Perkara berkenaan disahkan oleh peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo dan mempunyai salinan asal surat berkenaan.
Azilah sebelum ini dilaporkan membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.
Terdahulu, Azilah disabitkan bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu dan pada 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-duanya.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








