Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan. Dan pada bulan Mac ini juga, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kebiasaaannya menjelang puasa, hanya persiapan juadah makanan sahaja yang difikirkan iaitu juadah untuk bersahur dan juga berbuka puasa. Manakala, persiapan untuk hiasan rumah hanya difikirkan apabila menghampiri Syawal.
Bagaimanapun, menurut pendakwah, Ustazah Raudhah Rozli, persiapan tersebut bukan hanya dibuat apabila menyambut Syawal sahaja, namun perlu dilakukan apabila menyambut Ramadan, kerana rumah yang bersih akan dikunjungi oleh ‘tetamu’ istimewa.
“Antara tanda gembira kita nak sambut Ramadan, mula hias rumah, kemas rumah dan persiapkan rumah untuk bertemu dengan Allah.
“Selalunya orang hias dan kemas rumah hanya bila nak raya sebab ada tetamu nak datang.
“Kenapa nak kena kemas rumah bulan Ramadan? Sebab Malaikat nak datang,” katanya.
Jelasnya, menerusi hadis Nabi, antara doa yang mustajab adalah doa yang diaminkan Malaikat.
“Jika rumah kita dalam keadaan tongkang pecah, dalam keadaan yang tidak mengundang rahmat Allah dan menghalang Malaikat masuk, macam mana Malaikat nak aminkan doa,” katanya.








