Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Naim Mokhtar menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Menurut beliau, sebanyak 1,091 kes pelajar IPT yang menghidap HIV direkodkan dari tahun 2020 hingga 2024, dengan 222 kes baharu dicatatkan pada tahun lalu sahaja.
Apa yang lebih meruntun hati, jelas beliau, majoriti penghidap terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 19 tahun, sekali gus menggambarkan keruntuhan nilai moral dan peningkatan gejala sosial yang semakin membimbangkan.
“Sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal agama, saya amat bimbang dengan perkembangan ini. Gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda,” katanya.
Tegas beliau, sudah tiba masanya masyarakat menolak normalisasi perbuatan maksiat yang diselindungi atas nama kebebasan peribadi.
“Sudah tiba masanya kita bangkit membina benteng akhlak dan rohani,” katanya lagi.
Dalam kenyataannya di Facebook, Dr Naim turut menitipkan pesanan khusus kepada pelajar dan anak muda agar menjaga maruah serta nilai diri.
“Agama bukan sekadar pelajaran, ia panduan kehidupan. Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus,” ujar beliau.
Beliau menekankan bahawa pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu berjalan seiring bagi menangani isu ini secara berkesan. Oleh itu, agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan perlu berganding bahu untuk menyelamatkan generasi pewaris negara.
Dr Naim turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelektual, malah seimbang dari segi akhlak dan spiritual.
“Kerajaan MADANI komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, tetapi juga sihat dari segi akhlak dan spiritual,” tambah beliau.








