'Hasil yang diperoleh dari sumber haram adalah haram' - Mufti Kelantan | The Reporter

‘Hasil yang diperoleh dari sumber haram adalah haram’ – Mufti Kelantan

Mufti Kelantan
Sumber Gambar: Jabatan Mufti Kelantan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan hasil atau pendatapan yang diperoleh dari sumber haram termasuk dadah adalah haram. Ujarnya, walaupun individu tersebut cuba berselindung di sebalik perniagaan lain.

Beliau juga menegaskan, jika individu tersebut memberi sedekah, sekali pun tidak akan diterima oleh Allah daripada sumber haram melainkan hasil yang diperoleh daripada sumber yang halal.

“Sedekah daripada sumber yang halal akan diterima oleh Allah SWT. Justeru, sebagai peniaga perlu elak daripada menjalankan perniagaan daripada sumber haram.

“Begitu juga sebagai pengguna, dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan satu-satu iklan atau promosi termasuk kononnya (produk) menggunakan kaedah Islam.

“Sebagai pengguna kita kena tabayyun atau selidik dengan cermat. Ia perlu penyelidikan dan penyiasatan terlebih dahulu sebelum kita membeli sesuatu produk,” katanya.

Selidik terlebih dahulu

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan kepada pengguna sebelum membeli sesuatu produk, meneliti terlebih dahulu produk berkenaan yang baik, benar dan indah.

“Kita jangan terpengaruh dengan indah sahaja kerana benda itu tidak benar dan tidak baik.

“Sebagai masyarakat, kita jangan mudah terpengaruh dengan tayangan yang cuba memperlihatkan atau berselindung dengan kebaikan, tetapi sebenarnya ada keburukan,” katanya.

Sebelum ini, satu pendedahan yang dibuat oleh polis Kelantan mengejutkan ramai pihak. Dalam kenyataan tersebut, Polis Kelantan mendedahkan ramai pengasas produk dan pempengaruh di Kelantan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dipetik berkata, ia berdasarkan beberapa tangkapan dan kebanyakan mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.

Sumber: Harian Metro

Related Posts