Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelbagai barangan milik pelakon terkenal Rozita Che Wan, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, bernilai hampir RM100,000 telah disita pihak mahkamah hari ini. Proses tersebut dilakukan oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama wakil peguam dan mahkamah selepas pelakon itu didakwa gagal melangsaikan hutang pinjaman sejak 2017.
Menurut wakil peguam yang enggan dikenali, writ turut diserahkan kepada ibu Che Ta kerana pelakon berusia 51 tahun itu tiada di rumah ketika serbuan berlangsung.
“Hari ini kita serahkan writ, buat penilaian harga barang, dan penyitaan. Ini adalah kali kedua pihak kami hadir ke rumah Rozita selepas percubaan pertama bulan lalu tidak mendapat kerjasama.
“Nilai anggaran barangan yang disita adalah sekitar RM100,000, kebanyakannya terdiri daripada barangan peribadi,” katanya.
Proses lelongan dalam masa dua minggu
Wakil peguam itu menjelaskan, proses lelongan dijangka berlangsung dalam tempoh dua minggu dan sebarang rundingan selepas ini perlu melalui prosedur mahkamah.
“Tarikh lelongan sudah ada, tetapi kami sedang menunggu surat arahan selanjutnya daripada mahkamah. Rundingan hanya akan dibuat mengikut saluran undang-undang,” jelasnya lagi.
Sementara itu, pengurus Che Ta, Afeeq Abd Wahab, memohon sedikit masa untuk memberikan kenyataan rasmi.
“Tolong berikan masa. Saya akan kembali dengan kenyataan rasmi tidak lama lagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Cubaan pihak media untuk menghubungi Che Ta dan suaminya, Zain Saidin, tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej WhatsApp tidak dibalas.
Sumber: Harian Metro








