Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seekor harimau belang jantan yang dianggarkan berumur empat tahun dan berat 130 kilogram maut dilanggar kenderaan di KM50.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur, dekat Lentang, Bentong, hari ini.
Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin, harimau tersebut dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Persona pada kira-kira jam 1.23 pagi semasa melintas lebuhraya.
Harimau tersebut, berdasarkan saiz tubuh dan tapak kaki, dianggarkan berumur empat tahun dan dipercayai menjadikan Hutan Simpan Bukit Tinggi sebagai habitat semulajadi.
Setelah menerima aduan penemuan bangkai harimau belang itu, pegawai PERHILITAN segera ke lokasi untuk memastikan kebenaran aduan dan melakukan siasatan punca kemalangan itu.

Bangkai harimau belang itu kemudian dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.
Sumber: Buletin TV3








