Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pada Sabtu, seekor harimau dilaporkan dijumpai dalam saliran longkang di tepi Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Tapah.
Haiwan jenis karkas harimau belang jantan itu dipercayai mati dilanggar sebuah kereta jenis Nissan Juke.
Semasa proses pengecaman dilakukan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, terdapat kesan luka dan calar yang ditemukan pada bahagian sebelah kiri badan harimau berkenaan. Kecederaan tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan oleh terkena perangkap yang dipasang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Susulan itu juga, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata haiwan berkenaan akan dibawa ke Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Bukit Rengit, Pahang untuk tujuan pengawetan.
“Pengawetan karkas ini hanya boleh dilaksanakan di institut biodervisiti tersebut disebabkan hanya di sana mempunyai tenaga atau kepakaran khusus untuk proses itu.
“Kebiasaannya proses pengawetan ini akan mengambil masa agak lama kerana ia perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan spesimen yang diawet, kekal cantik dan tidak rosak bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
Terdahulu, kejadian seumpama ini turut menimpa seekor harimau jantan yang mati selepas dilanggar sebuah treler di KM 303.4 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Gua Tempurung, Gopeng.
Sumber: Sinar Harian