Harga santan yang kini mencecah RM22 sekilogram dijangka kembali stabil bulan depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, langkah mengimport bekalan kelapa dari Indonesia dan beberapa negara lain sedang diambil bagi mengatasi lonjakan harga berkenaan.
“Santan memang harganya masih tinggi kerana perayaan sekarang ini masih berjalan, ‘open house’ masih berjalan, contohnya seperti (majlis aidilfitri) hari ini. Mungkin ada beratus tempat lagi di seluruh Malaysia,” katanya.
Tambahnya, kenaikan harga itu turut dipengaruhi peningkatan keperluan sempena musim perayaan dan majlis rumah terbuka di seluruh negara.
“Bagaimanapun, kita yakin bulan depan barangkali (santan) akan stabil. Kita juga mengambil langkah mengimport tambahan lagi (bekalan kelapa) daripada Indonesia dan beberapa (kawasan) lain, Insya-Allah bulan depan stabil,” ujarnya memetik laporan Kosmo! Online.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut memberi jaminan bahawa bekalan lembu bagi musim perayaan Aidiladha akan mencukupi.
Menurutnya, harga lembu ketika ini juga agak rendah di beberapa negeri termasuk di Pantai Timur.
“Kita harap harga tersebut tidak naik mendadak untuk musim perayaan nanti (Aidiladha),” katanya.








