Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mengesan sebarang kenaikan harga makanan yang melampau di bazar Ramadan dan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara sepanjang enam hari umat Islam berpuasa.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh, berkata pemeriksaan berterusan dilakukan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.
Op Pantau 2025 tingkat penguatkuasaan
Menurutnya, menerusi Op Pantau 2025, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan telah dipertingkatkan di bazar Ramadan, dengan lebih 15,000 premis diperiksa sejak Januari hingga 7 Mac lalu.
“Setakat ini, 307 aduan telah diterima, termasuk yang tular di media sosial. Namun, selepas pegawai kami turun padang, tiada kenaikan harga makanan yang melampau dikesan. Sebaliknya, kebanyakan aduan membabitkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta isu berkaitan alat timbang dan sukat,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Aduan SURI bantu pengguna lapor ketidakpatuhan
Dalam usaha menambah baik sistem pemantauan, beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan Aduan SURI yang boleh diakses melalui kod QR dan aplikasi WhatsApp.
“Kami berharap pengguna dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang salah laku peniaga, sekali gus membantu kerajaan memastikan kepatuhan terhadap undang-undang yang ditetapkan,” katanya.








