Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Dalam perkembangan terkini kes Zayn Rayyan Abdul Matiin, polis mengesyaki hanya seorang suspek yang terbabit dalam kes bunuh kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan petunjuk kesan jerutan dan pergelutan yang ditemui pada badan mangsa.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke kawasan anak sungai. Sedangkan ketika itu, pihak berkuasa bersama orang awam pernah melakukan pencarian di kawasan yang sama, namun tidak menemui mangsa.
“Pada hari yang sama (mayat mangsa ditemui), kita ada membuat pencarian, tetapi tak jumpa.
“Kita jumpa pada waktu malam. Jadi kemungkinan petang (pembunuh meletakkan mangsa) sewaktu hujan lebat. Jadi kita percaya, waktu petang itulah (mangsa diletakkan),” katanya.
Dalam pada itu, polis juga sedang meneliti sejumlah video dashcam kenderaan milik penduduk Apartmen Idaman, yang berkemungkinan dapat membantu siasatan.
Selain itu juga, polis melakukan pemeriksaan di 18 blok yang membabitkan 2,484 unit kediaman penduduk untuk mencari petunjuk baharu. Sebanyak 228 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) telah diambil untuk membantu siasatan.
Terdahulu, mayat Zayn Rayyan ditemui pada jam 10 malam, 6 Disember lalu selepas dilaporkan hilang oleh ibunya, Selasa lalu.
Mangsa yang ketika itu sedang berjalan di belakang ibunya dikatakan hilang secara tiba-tiba semasa dalam perjalanan naik ke kediaman mereka.
Sumber: Harian Metro, Bernama