Hakim 'paling baik di dunia', Frank Caprio meninggal dunia | The Reporter

Hakim ‘paling baik di dunia’, Frank Caprio meninggal dunia

Frank Caprio meninggal dunia kerana penyakit pankreas.
Gambar: Instagram Frank Caprio.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Hakim Frank Caprio, figura yang dikenali sebagai “hakim paling baik di dunia”, telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun selepas sekian lama berjuang melawan penyakit kanser pankreas.

Caprio menjadi fenomena global melalui rancangan televisyen realiti mahkamah “Caught in Providence”, di mana beliau mengendalikan kes-kes kecil seperti saman trafik dan parkir haram. Namun, yang menjadikan beliau viral bukanlah kes-kes itu, sebaliknya gaya penghakiman beliau yang penuh belas kasihan, rendah hati, serta keyakinannya terhadap kebaikan manusia.

Beliau sering mengampunkan atau meringankan denda mereka yang dalam kesusahan, mendengar dengan sabar alasan rakyat biasa, dan menyelitkan humor serta nasihat yang menyentuh hati. Setiap tindakannya meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan orang di seluruh dunia, hingga ada yang menggelarnya sebagai hakim yang paling penyayang.

Baca juga:

Sehari sebelum pemergiannya, Hakim Caprio sempat memuat naik sebuah video di Instagram, memohon agar orang ramai mendoakan dirinya. Katanya:

“Tahun lalu saya telah meminta anda semua untuk mendoakan saya, dan ternyata doa itu benar-benar sampai kerana saya berjaya melalui satu tempoh yang amat sukar. Malangnya, saya terpaksa berehat seketika dan kini saya kembali berada di hospital.

“Hari ini saya Kembali lagi, memohon agar anda sekali lagi mengingati saya dalam doa. Jadi, saya pinta sekali lagi, jika tidak menjadi beban, sudilah anda semua mendoakan saya.

“Saya seorang yang sangat percaya kepada kekuatan doa. Saya yakin Yang Maha Kuasa di atas sana sentiasa memandang dan melindungi kita. Maka, ingatlah saya dalam doa anda,” katanya.

Hakim Caprio akan dikenang bukan sahaja sebagai seorang hakim yang dihormati, tetapi juga sebagai suami, bapa, datuk, moyang dan sahabat sejati. Legasinya akan terus hidup melalui kebaikan yang telah beliau inspirasikan, manakala kata-kata akhirnya menjadi pengingat betapa besar keyakinannya terhadap kuasa doa dan belas kasih.

Related Posts