Sedang tular di media sosial ketika ini, penyanyi Hafiz Suip dikatakan terlibat dalam pergaduhan di jalan raya.
Berdasarkan video rakaman orang awam, Hafiz dilihat berang dan cuba mendekati seorang lelaki yang menimbulkan kemarahannya. Namun, dihalang oleh beberapa individu dipercayai rakan Hafiz.
Ketika cuba beredar, Hafiz memukul bahagian depan kenderaan putih menyebabkan pemiliknya terus meluru dan menumbuk Hafiz lalu berlaku pergelutan di antara mereka. Penyanyi itu dilihat sempat menendang lelaki tersebut sebelum berjaya dileraikan oleh orang awam.
Rakan tampil cerita hal sebenar
Sementara itu, tampil seorang individu yang mengakui rakan kepada Hafiz, Uthman Daud, menjelaskan cerita sebenar yang berlaku.
“Mungkin ada yang tengok video viral pergaduhan Hafiz Suip yang berlaku selepas Solat Jumaat tadi. Oleh kerana video yang tersebar hanya sekejap, biarlah saya menerangkan kronologinya.
“Selepas Solat Jumaat, kami dalam perjalanan untuk membeli hamper, untuk menziarahi rumah keluarga peminat Hafiz yang sudah meninggal dunia, kerana semalam adalah hari ke-100 pemergiannya.
“Ketika dalam perjalanan, ada sebuah kenderaan yang mencucuk dari belakang. Maka provokasi pun berlaku dari kedua belah pihak.
“Kemuncaknya adalah apabila pemandu tersebut mula blok dan memberhentikan kereta kami. Kedua-dua dalam keadaan marah terus keluar dari kereta. Tiba-tiba pemandu tersebut menyembr muka Hafiz dengan pepper spray.
“Saya cuba meleraikan keadaan, tetapi pemandu itu masih meluru ke arah Hafiz. Dalam ketika saya cuba meleraikan keadaan, muka saya juga disiku dan disembur dengan pepper spray sehingga menyebabkan sesak nafas. Jadi, saya sendiri pun melepaskan tumbukan selepas melihat dia terlalu agresif,” katanya.
Uthman dan Hafiz kemudian pergi ke balai untk membuat laporan polis sebelum menuju ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan kulit masih pedih akibat disembur dengan penyembur lada.