Hafidz Roshdi diperintah jalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia - The Reporter

Hafidz Roshdi diperintah jalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia

Pelakon Hafidz Roshdi diperintah oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia. 

Hakim Siti Fatimah Talib bertindak selaku Majistret mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistina Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah. 

2 Mac lalu, Hafidz membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya. 

Mengikut pertuduhan, Hafidz didakwa sengaja menyebabkan kecederaan pada Nurul Shuhada dengan menumbuk mangsa menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mengalami kecederaan. 

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 3.30 pagi 2 Mac. 

Pelakon berusia 29 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. 

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Nurul Qistini, manakala Hafidz diwakili peguam Datuk Akbardin Abdul Kader. 

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!