Hadi Awang tolak jadi PM ke-11, jadi penasihat bolehlah | The Reporter

Hadi Awang tolak jadi PM ke-11, jadi penasihat bolehlah

Tan Sri Abdul Hadi Awang tersenyum ketika sidang media, PAS tolak jadi PM ke-11.
Hadi Awang tolak jadi PM ke-11, akui lebih sesuai jadi penasihat. | Kredit gambar: Facebook Abdul Hadi Awang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak akan menjadi calon Perdana Menteri ke-11 sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Katanya, usia lanjut bukan lagi faktor sesuai untuk memikul tanggungjawab sebesar itu, sebaliknya beliau hanya melihat dirinya lebih sesuai sebagai penasihat.

Menurut Abdul Hadi, PAS memberi tumpuan penuh untuk memenangi PRU16 sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri. Soal kepimpinan hanya akan diputuskan kemudian secara dalaman bersama parti gabungan PN.

Beliau menekankan garis panduan memilih pemimpin seperti terkandung dalam al-Quran, seseorang itu mesti berilmu, berintegriti dan memiliki kesihatan yang baik.

“Umur saya sudah 78 tahun, jadi untuk jadi Perdana Menteri tak layak. Jadi penasihat bolehlah. Biar orang muda dan kuat tubuh yang pimpin,” katanya, lapor Harian Metro.

Baca juga:

Cari pemimpin berwibawa dalam PAS

Abdul Hadi turut menambah, ramai tokoh dalam PAS yang berpotensi menjadi Perdana Menteri, khususnya daripada kalangan akademik dan profesional. Baginya, kepimpinan negara perlu dilaksanakan secara kolektif dengan Kabinet seimbang antara ahli politik dan teknokrat yang boleh dilantik sebagai senator.

“Memimpin adalah amanah besar. Jika laksana dengan baik dapat pahala, jika gagal, balasannya neraka. Sebab itu ramai orang takut jadi pemimpin,” jelas beliau.

Kenyataan Abdul Hadi ini sekali gus menutup spekulasi bahawa beliau berhasrat menduduki kerusi Perdana Menteri. Fokusnya kini lebih kepada memastikan kemenangan PN dalam PRU16 dan menyerahkan soal calon PM kepada generasi lebih muda dalam parti dan gabungan.

Related Posts