Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Skibidi Toilet adalah siri animasi web yang dicipta oleh Alexey Gerasimov dan dimuat naik di saluran YouTube DaFuq!?Boom!
Siri ini menggunakan Source Filmmaker dan mengisahkan perang fiksyen antara tandas berkepala manusia dan watak humanoid dengan peranti elektronik sebagai kepala.
Siri ini terkenal dengan elemen keganasan dan humor gelap yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Pengaruh negatif Skibidi Toilet
Baru-baru ini, seorang guru tadika, Cik Puan Farini Aurani, terkejut apabila mendapati seorang murid berusia enam tahun melukis gambar yang menggambarkan kekerasan.
Apabila ditanya mengapa lukisannya hanya menunjukkan separuh badan dan kepala, murid tersebut menjawab watak dalam lukisannya telah dipotong kerana melakukan kejahatan.
Guru tersebut bertanya lanjut, “Mengapa perlu dipotong?”. Murid itu menjawab, “Sebab dia jahat la teacher. Dia rampas perempuan dalam cerita tu. Bila orang jahat kita kena kerat potong-potong la dia.”
Kejadian ini menimbulkan kebimbangan di kalangan guru dan ibu bapa mengenai pengaruh kartun dan permainan video terhadap pemikiran anak-anak.
“Allah, Terkejut teacher anak oiii. Baru tadika dah boleh fikir sampai bunuh-bunuh kerat-kerat potong-potong.
“Kepada ibu ayah, dunia dah semakin teruk. Anak-anak belajar bunuh membunuh hanya dari kartun kan. Pantaulah apa yang anak kita tonton dan games yang mereka main,” katanya.
Menurut murid-murid lain, mereka mendapat idea tersebut daripada kartun dan permainan video seperti “Skibidi Toilet.”
Anak mudah terpengaruh
Kajian menunjukkan, pendedahan kepada kandungan kekerasan dalam media boleh meningkatkan perasaan permusuhan dan menurunkan respons emosional terhadap kekerasan. Ini boleh menyebabkan anak-anak meniru tingkah laku agresif yang mereka lihat di skrin.
Pakar psikologi menekankan kepentingan pemantauan ibu bapa terhadap apa yang ditonton dan dimainkan oleh anak-anak mereka.
“Ibu bapa perlu lebih peka dan mengawal kandungan yang diakses oleh anak-anak mereka untuk mengelakkan pengaruh negatif,” kata pakar.
Dalam dunia yang semakin kompleks ini, adalah penting untuk memastikan anak-anak kita terdedah kepada kandungan yang positif dan mendidik. Ibu bapa dan pendidik perlu bekerjasama untuk membentuk persekitaran yang selamat dan sihat bagi perkembangan mental dan emosional anak-anak.








