Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli politik dan aktivis terkenal Britain, George Galloway, menegaskan bahawa rakyat Palestin merupakan antara golongan paling ditindas di dunia dan keadaan di Malaysia sama sekali tidak menyamai realiti pahit yang dihadapi rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjawab soalan kontroversi daripada seorang wartawan portal berita tempatan dalam sebuah program berkaitan Gaza, iaitu syarahan umum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang berlangsung baru-baru ini. Klip video berkenaan juga tular di media sosial dan meraih perhatian ramai.
Dalam ucapannya, Galloway menolak perbandingan antara perjuangan rakyat Palestin dengan situasi komuniti Cina di Malaysia, sambil menyifatkan persamaan sedemikian sebagai tidak tepat, keterlaluan dan langsung tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat negara ini.
“Saya tidak fikir anda membantu perjuangan anda dengan membandingkan diri anda dengan rakyat Palestin. Rakyat Palestin adalah antara masyarakat yang paling teruk dan kejam ditindas di dunia,” katanya.
Tiada penindasan berlaku di Malaysia
Menurut beliau, sepanjang berada di Kuala Lumpur, tiada tanda-tanda penindasan sistematik seperti yang lazim berlaku di wilayah Palestin dapat dilihat, termasuk kehadiran kereta kebal, senjata, trak tentera atau jalan khas untuk golongan tertentu.
“Saya tidak melihat kereta kebal, senjata atau jalan khas untuk kumpulan tertentu seperti yang anda gambarkan. Mungkin saya terlepas pandang sesuatu, namun saya bukan pakar dalam isu yang dibangkitkan,” jelasnya.
Mengulas dakwaan bahawa Malaysia boleh disamakan dengan sebuah masyarakat apartheid, Galloway menegaskan tanggapan tersebut adalah tidak berasas dan mengelirukan.
Beliau turut menafikan sebarang dakwaan bahawa dirinya bersikap sinofobia atau xenofobia, sebaliknya menyatakan sokongan terbuka terhadap masyarakat Cina.
“Saya akan berlepas ke China dalam tempoh dua hari lagi dan kini menghabiskan sebahagian besar masa serta mencari rezeki di sana. Saya membenci nasionalisme dan saya bukan anti-China. Setakat yang saya lihat, masyarakat Cina di Malaysia hidup dengan baik hasil kerja keras serta kepakaran mereka dalam bidang perniagaan,” katanya.
Baca juga:
- Duta Ukraine rayu bantuan kemanusiaan dari Malaysia
- 44 kucing di Rumah Kucing Madad cari keluarga angkat baharu
- ‘Semua saham sudah dilupuskan sejak Julai’ – Azam Baki
Tambah beliau, masyarakat Cina berjaya di mana-mana sahaja, termasuk di China, dan beliau sentiasa menyokong kejayaan mereka.
Bagaimanapun, Galloway menyifatkan dakwaan bahawa Malaysia merupakan sebuah masyarakat apartheid sebagai satu kenyataan yang malang dan sedikit memalukan, kerana ia tidak mempunyai asas kukuh serta tidak selari dengan realiti sebenar negara ini.
“Oleh itu, saya tidak akan meluangkan lebih banyak masa untuk membahaskan isu ini,” katanya mengakhiri kenyataan.
Dalam pada itu, portal berkenaan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka, menyatakan bahawa pihak mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai soalan yang diajukan dan tidak bersetuju dengan komen wartawan berkenaan. Susulan perkara itu, portal tersebut segera menjalankan siasatan dalaman dan mengambil tindakan tatatertib terhadap wartawan terbabit.
Sumber: Malaysia Tribune








