Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Adi Ariff Ahmad, 51, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas mengaku bersalah membuat komunikasi jelik terhadap bekas pengarah FAMA negeri itu dua tahun lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan aplikasi X melalui akaun ‘Senatorrr Antonio Samad’ dan secara sedar memuat naik ciapan berunsur jelik.
Memetik Kosmo, tertuduh telah menulis “Pengarah FAMA Melaka ni nak kerja ke nak berniaga? Ke nak jadi kartel?” dan “Menurut sumber dalaman, rakan niaga or rakan subahatnya yg juga staff dia berhari2 tak dtg kerja katanya dia payung cukup2.. Mintak exco Pertanian Melaka n KP FAMA buat siasatan perangai mamat ni.”
Kandungan itu dilihat sekitar jam 5 petang, 11 Oktober 2023, di sebuah rumah di Jalan Kelubi Damai 1, Jasin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, tertuduh boleh didenda tambahan RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar denda diringankan kerana menanggung isteri dan empat anak yang masih belajar.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri, memohon hukuman setimpal berdasarkan tren hukuman semasa. Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menetapkan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.








