'Sepatutnya gaji graduan RM7,000 - RM8,000 sebulan' - Bekas Gabenor BNM | The Reporter

‘Sepatutnya gaji graduan RM7,000 – RM8,000 sebulan’ – Bekas Gabenor BNM

Gaji graduan tidak setaraf
Gambar: The Straits Times

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Gaji permulaan graduan universiti di Malaysia kini dilihat menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh empat dekad, menurut bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, pada tahun 1984, beliau sendiri menerima gaji permulaan sebanyak RM1,300 sebulan sebagai graduan universiti. Jika diteliti melalui kadar inflasi tahunan sekitar lima peratus, jumlah setaraf pada hari ini sepatutnya mencecah antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.

Namun realitinya, ramai graduan masa kini hanya memperoleh antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan — satu penurunan mendadak dari segi kuasa beli.

“Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Secara realiti, gaji kita sudah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda,” katanya dalam satu forum ekonomi baru-baru ini.

Tambahnya lagi, isu ini mencerminkan kelemahan struktur ekonomi negara yang tidak mampu mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi, serta kegagalan sistem pendidikan menyediakan graduan dengan kemahiran bersesuaian untuk pasaran semasa.

Beliau memberi amaran bahawa jika perkara ini tidak ditangani, generasi muda berkelulusan tinggi akan terus terperangkap dalam pekerjaan berkemahiran rendah, walaupun memiliki latar belakang akademik yang baik.

“Kita sudah terlalu lama berada dalam perangkap pendapatan sederhana. Jika tidak ada reformasi besar-besaran dalam ekonomi dan pendidikan, anak-anak kita mungkin terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah turut memberi tekanan kepada gaji kumpulan B40, yang kebanyakannya juga terdiri daripada graduan yang gagal mendapat pekerjaan bersesuaian.

Tan Sri Muhammad menggesa kerajaan agar tidak lagi terlalu fokus kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya memberi tumpuan kepada pembentukan struktur pekerjaan berkualiti dan setimpal dengan taraf pendidikan rakyat.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts