Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang ibu di Batu Berendam, Melaka, resah selepas anak gadisnya, Siti Nurfatin Syuhada Shahrul Aizom, 22, menghilangkan diri sejak 6 Januari lalu, dipercayai mengikut seorang individu berperwatakan seperti lelaki ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, pengadu membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya pada 26 Januari lalu selepas gagal menghubungi mangsa sejak kehilangannya.
“Sewaktu kejadian, pengadu yang berada di tempat kerja di Tangga Batu menerima panggilan daripada seorang anaknya yang memaklumkan anak bongsunya itu telah keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.
“Ketika dihubungi melalui WhatsApp, mangsa memberitahu ibunya bahawa dia hanya keluar sekejap untuk bersendirian sebelum menghantar mesej lain menyatakan hasratnya mahu berdikari dan membuktikan kemampuannya,” katanya memetik laporan daripada Berita Harian, Khamis, 30 Januari 2025.
Namun, selepas itu, semua usaha untuk menghubungi gadis berkenaan menemui jalan buntu, menyebabkan pengadu mengambil keputusan membuat laporan polis.
Sebelum ini juga, mangsa pernah menyuarakan keinginannya untuk bekerja di Kuala Lumpur dan pengadu mengesyaki dia mengikut seorang individu dikenali sebagai Farah.
Pihak polis kini sedang giat mengesan keberadaan mangsa dan meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan. Kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju-T lengan panjang hitam, seluar palazzo biru tua, bertudung hitam dan berkasut sukan putih.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Hairul Anuar Mohd Jaini di talian 018-3868234 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian








