Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Satu kejayaan besar diraih dalam industri negara apabila filem Abang Adik diumumkan sebagai Filem Terbaik di 10th Asian World Film Festival 2024 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat semalam.
Dalam anugerah penuh berprestij itu, filem tersebut juga membawa tuah kepada bintang utamanya iaitu Wu Kang-ren yang membawakan watak Abang turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi kategori Feature Snow Leopard.
“Abang Adik baru sahaja memenangi Filem Terbaik dan Aktor Terbaik di Asian World Film Festival. Terima kasih kepada semua hakim untuk pengiktirafan ini,” tulis hantaran di Facebook Abang Adik.
Sebelum ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan filem arahan sulung pengarah Jin Ong itu merangkul telah 19 anugerah antarabangsa. Secara tidak langsung membuktikan filem Malaysia mampu bersaing ke peringkat global.
Pencapaian tertinggi
Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.
Filem berkenaan juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.
Bukan sahaja memenangi anugerah dalam pelbagai acara, Abang Adik juga mampu menarik perhatian penonton luar negara dengan mencatatkan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 September lepas selepas mula ditayangkan pada 21 September 2024 di China dan juga kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan serta RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama mencatatkan rekod tayangan tertinggi.
Sumber: Bernama