Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura, disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling hari ini. Mahkamah kemudian meluluskan permohonan cerai yang difailkan oleh Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Selesai prosiding yang berlangsung hampir satu jam itu, wartawan segera mendapatkan kenyataan dari Fazura sebaik saja keluar dari mahkamah.
Kunci mulut untuk jaga aib
“Sebagai seorang isteri, takkanlah saya gembira dengan penceraian ini. Saya sangat sedih tetapi keputusan ini diambil bukan dalam masa singkat. Saya sudah lama sengsara bertahun-tahun dan telah berfikir panjang. Saya redha dengan ketentuan Allah dan saya percaya ini adalah yang terbaik.
“Selama ini saya memang mengambil pendekatan untuk mengunci mulut untuk menjaga aib saya dan Fattah, serta masa depan anak saya, Fatima. Tetapi semenjak ramai yang sudah bertanya, spekulasi di luar sana yang saya hadapi selama ini.
Nafkah, tiada persefahaman, curang
“Punca perceraian pertama adalah Fattah telah mengabaikan nafkah untuk saya dan Fatima, setelah sekian lama.
“Yang kedua ialah, kami tidak ada persefahaman lagi. Maknanya saya telah lama tidak bahagia, emosi terganggu dan mental saya tertekan. Tetapi saya tetap bertahan walaupun pelbagai tohmahan, fitnah dan cacian dilemparkan terhadap saya. Dan saya berharap seorang sosok suami itu akan ke depan untuk mempertahankan saya, tetapi langsung tiada.
“Yang ketiga yang saya rasa saya memang tidak boleh terima lagi ialah Fattah berlaku curang terhadap saya. Ya, saya ada bukti.
“Saya curahkan semua kasih sayang saya kepada dia. Segala tohmahan, cacian dan fitnah orang di luar sana mengatakan saya ego, saya tak nak turunkan ego saya, tidak sekufu dengan Fattah, itu semua adalah fitnah semata-mata sebab umum tahu saya sayangkan Fattah. Sampai ada tuduhan mengatakan saya terhegeh-hegeh sayangkan dia. Tetapi saya telankan semua itu, demi Allah pengakuan saya benar dan memang benar saya sayangkan dia.
“Walaupun saya seorang isteri, tetapi saya telah melakukan yang terbaik. Mudah-mudahan Allah tahu saya telah banyak berkorban untuk keluarga. Fattah sendiri pun ada mengeluarkan kenyataan tentang pengorbanan saya.
Banyak berkorban tapi diambil kesempatan
“Sejujurnya hari ini saya memang nak beritahu semua orang, saya sudah berkorban semuanya untuk Fattah. Saya sediakan tempat tinggal, makan minum semua untuk dia dan Fatima. Saya juga menghadiahkan kereta Range Rover untuk keselesaan dia. Jadi, untuk orang yang kata saya bercerai sebab tak sekufu itu tidak betul. Sebab kalau saya rasa Fattah tidak sekufu, saya tidak akan bersetuju berkahwin dengan dia. Dari awal semasa kami bercinta, saya menerima dia dan keluarganya seadanya sehinggalah ke hari ini.
“Tetapi itulah, pengorbanan saya diambil kesempatan. Saya sangat kecewa dan kesal. Saya perlu mengambil keputusan ini untuk maruah saya. Saya kesal kerana, pengorbanan saya banyak, kenderaan yang saya belikan itu pun dia bawa orang ketiga.
“Sebenarnya saya memang dah tahu sejak bulan Ogos 2024. Orang nampak saya happy, tetapi Allah sahaja yang tahu macam mana mental saya ketika itu dan Fattah pun tahu, saya pernah beritahu dia.
Pendapatan beratus ribu, tapi anak isteri tak pernah merasa
“Fattah pun senang, anda semua perlu tahu pendapatan dia beratus-ratus ribu. So pendapatan dia saya rasa lebih dari setengah juta. Tetapi kenapa sedikit pun tak dapat beri kepada saya dan Fatima? Sekurang-kurangnya ingat pada kami.
“Sudah bertahun, tetapi saya pendamkan sehingga akhirnya kami berpisah sebenarnya sebab saya nak ambil masa dulu untuk (bertenang).
Tiada inisiatif untuk pujuk bersungguh-sungguh
“Saya memang mengharapkan suami datang memujuk saya. Bukannya setakat WhatsApp good morning, good night, I’m sorry itu saja. Tetapi saya mengharapkan dia datang ke rumah walaupun saya marah ke. Sebagai seorang isteri, kita kadang-kadang marah tetapi saya memang berharap dia bersungguh-sungguh untuk memujuk saya.
“Dia ada datang beberapa kali untuk berjumpa dengan anak. Kemudian dia datang lagi sehari sebelum cerai untuk mengambil pakaian dia. Ada sekali dia datang pada hari saya memfailkan perceraian. Waktu itu saya berkerja di luar. Memang ada beberapa kali saya kata saya tak nak berjumpa tetapi saya amat berharap. Sebab saya pun dalam keadaan hati remuk.
“Saya berdoa kepada Allah, berharap dia datang memujuk saya dengan bersungguh-sungguh. Mungkinlah saya akan berlembut hati pada masa itu, tetapi dua bulan itu langsung tak ada inisiatif yang benar-benar menunjukkan dia sayang kepada saya. Jadi saya betul-betul rasa, dia memang tidak sayangkan saya.
Fatima tak pernah rasa duit raya ayahnya
“Semenjak saya berkahwin dengan Fattah, saya memang sayangkan keluarga mertua seperti keluarga saya sendiri. Ke mana-mana saya pergi bercuti, saya akan pastikan mereka tidak terkecuali. Tetapi sejujurnya saya di sini, saya agak terkilan juga sebab langsung tiada di antara mereka yang menghubungi saya untuk bertanya khabar saya dan Fatima. Di situ saya agak terkilan, tetapi tak apalah sebab saya sudah maafkan semua.
“Sudah tentu saya kasihankan pada Fatima. Tetapi sejujurnya di sini, sepanjang empat tahun Fatima tidak pernah merasa duit raya ayah dia. Saya sendiri pun tidak pernah merasa duit raya dah Fattah. Seboleh-bolehnya saya memang tak nak pisahkan Fatima dengan ayahnya. Tetapi macam mana nak hidup bersama kalau Fatima menyaksikan ibu bapa dia tidak bahagia? Saya kena besarkan Fatima dengan mental yang baik, happy dan sebagainya,” katanya.








