Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel menegaskan bahawa tanpa bantuan Dr Zaliha Mustafa, rancangan pembinaan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah tidak akan menjadi kenyataan.
Menurut Faroz, rundingan antara pihaknya dengan jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sudah berlarutan selama 11 tahun, namun hanya menemui jalan penyelesaian selepas campur tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu.
“Sebelas tahun kami tunggu. Kalau bukan sebab bantuan Zaliha, majlis pecah tanah pun belum tentu boleh diadakan hari ini. Masjid itu pun belum tentu siap dalam masa dua tahun,” katanya memetik laporan MalaysiaKini, 27 Mac 2025.
Beliau menambah, jika syarikatnya memilih untuk membawa kes ke mahkamah, proses undang-undang mungkin mengambil masa 10 tahun lagi dan hasilnya belum tentu memihak kepada mereka.
- UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan hingga PRU akan datang
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Sebelum ini, sesetengah pihak mengkritik Zaliha kerana didakwa menghalang tindakan undang-undang terhadap jawatankuasa kuil berkenaan. Namun, Faroz menjelaskan keputusan untuk tidak meneruskan saman adalah hasil rundingan syarikat dengan penasihat undang-undang mereka sendiri.
“Zaliha hanya beri pandangan tentang risiko perkauman dan kesan sosial kalau isu ini dibawa ke mahkamah. Tapi keputusan akhir datang daripada pihak kami,” katanya lagi.
Faroz juga menjelaskan kenyataan beliau dalam majlis pecah tanah baru-baru ini telah disalah erti. Menurutnya, ucapan tersebut dibuat secara spontan dan tidak bertujuan memburukkan sesiapa.
“Malangnya, satu petikan audio telah dipotong dan disebarkan secara berasingan oleh sesetengah media. Itu yang timbulkan salah faham,” ujarnya.
Pada 25 Mac lalu, jawatankuasa kuil mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memindahkan struktur kuil sedia ada ke tapak baharu kira-kira 50 meter dari lokasi asal.








