Malaysia dianggap mengalami kerugian jika terus gagal memanfaatkan ruang yang ada bagi membolehkan artis antarabangsa mengadakan persembahan di negara ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menerusi satu ciapan berkata ada ramai penghibur terkenal yang boleh dibawa untuk membuat persembahan di negara ini melalui kaedah sedia ada namun langkah tersebut tidak dilakukan.
Malahan, bekas menteri besar Perak itu menggesa langkah lebih giat digerakkan untuk membolehkan selebriti terkenal datang membuat persembahan di negara ini.
“Kita terlepas peluang itu. Barisan selebriti kelas A berada dalam genggaman kita melalui perjanjian dengan ASM Global (syarikat pengurusan venue AS).
“Kita mesti lebih agresif untuk mendapatkan mereka. Kejatuhan ekonomi yang besar adalah di luar politik,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, berkata langkah menjadikan republik itu sebagai destinasi tunggal konsert Taylor di Asia Tenggara bukanlah tindakan yang tidak mesra terhadap negara-negara lain di rantau berkenaan.
Sebaliknya kata Lee, Singapura memang menyediakan insentif tertentu melalui dana pembangunan pelancongan dan ia terbukti sangat berjaya untuk mereka.
Isu ini bukan sahaja disuarakan oleh Faizal sahaja, malahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut menyatakan isu yang sama sebelum ini.
Dalam kenyataannya, dia menerangkan bagaimana negara jiran berjaya menjana pendapatan lumayan daripada konsert yang dianjurkan. Namun begitu katanya, Malaysia pula terus berbalah sesama sendri mengenai kewajaran membuka pintu kepada artis luar.
Sumber: Faizal Azumu, MalaysiaKini