Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang penyanyi rap mendakwa dirinya dirakam anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) semasa sedang mendapatkan perkhidmatan berurut di sebuah pusat kecantikan di Subang Jaya baru-baru ini.
Insiden itu mendapat perhatian Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, yang tampil memohon maaf atas kejadian tersebut.
Jelas Ng, insiden itu berpunca daripada prosedur operasi standard (SOP) yang kurang jelas, yang mungkin menyebabkan salah faham antara pegawai PBT dan penyanyi terbabit.
“Apa yang berlaku, saya dimaklumkan rumah urut itu tidak berlesen. Saya tidak menyalahkan penyanyi itu dan faham beliau mungkin rasa tercabar dari segi kehormatan peribadi, hak, atau sebagainya,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau turut memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil untuk menyelesaikan isu ini secara baik dan berhemah. Pihaknya juga berhasrat mewajibkan penggunaan kamera badan kepada anggota penguat kuasa PBT pada masa depan, bergantung kepada kedudukan kewangan semasa. Langkah ini bertujuan memastikan operasi berjalan dengan lebih lancar dan mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Terdahulu, penyanyi rap dikenali sebagai Zamaera mendakwa dirinya dirakam dalam keadaan tidak berpakaian semasa serbuan ke atas sebuah pusat urutan di SS14.
Dalam beberapa hantaran di platform X, Zamaera mendakwa pegawai penguat kuasa memasuki premis tanpa memberi pengumuman sebelum membuat rakaman yang dianggapnya melanggar privasi.
“Bahagian mana dalam menceroboh privasi pelanggan dengan merakam mereka dalam keadaan tidak berpakaian boleh dianggap beretika?” soalnya.
Zamaera juga memaklumkan, laporan polis telah dibuat bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Sumber: Berita Harian, Bernama