Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan teguran kepada pasangan suami isteri supaya mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan
Jelasnya, Islam mengajar kita supaya melepaskan pasangan dengan cara baik dan penuh ihsan.
“Dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujudnya badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan. Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini.
“Namun, Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah dalam kalangan yang halal. Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.
“Jika perpisahan itu tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sebagai ibu bapa keutamaan menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.
“Jangan sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa. Anak-anak adalah amanah dari Allah, dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian,” tulisnya.
Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak yang menghadapi situasi yang penuh dengan konflik, sebaiknya berusaha untuk menjadi orang yang mendamaikan dan memperbaiki keadaan.
“Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua belah pihak.
“Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing,” katanya.
Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri








