'Duit anda, kedai kami. Rezeki kami bukan di tangan anda' - Restoran viral Melaka jawab ulasan negatif pelanggan - The Reporter

‘Duit anda, kedai kami. Rezeki kami bukan di tangan anda’ – Restoran viral Melaka jawab ulasan negatif pelanggan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini sebuah restoran di Melaka tular di media sosial kerana mendapat ulasan negatif daripada beberapa pelanggannya di Google Review.

Menurut pelanggan yang dikenali sebagai Myssnia, dia hanya sudi memberi satu bintang untuk makanan dan perkhidmatan restoran berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan harga makanan dan sikap pelayannya.

Servis hauk

“Boleh dah kot tukar nama kedai jadi dondang melingkup. Servis harey, pelayan hauk. Berdondong sayang je la korang sesama pekerja tak payah kerja, tak payah layan customer. Kalau layan customer, macam minta kena terajang. Dah la mahal mengalahkan Israel,” katanya.

Pelanggan lain, Mohamad Izuan juga memberikan satu bintang yang turut kecewa dengan sikap pemilik dan pekerja restoran itu.

“Owner dan pekerja berlagak. Bukan nak suruh layan macam raja pun. Saling menghormati dan lemparkan senyuman yang tak ikhlas itu pun dah memadai.

“Harga makanan dengan portion agak memeranjatkan. Tak tahu pula orang Melaka dah pandai cekik darah pula. Harap ubah sikap dan perbaiki mutu makanan jika mahukan perniagaan dirahmati dan diberkati Allah. Buang sikap ego dan tamak,” katanya.

‘Duit anda, kedai kami’

Bagaimanapun, pihak restoran berkenaan tampil menyelar tindakan pelanggan yang memberi ulasan negatif terhadap mereka. Menerusi hantaran di Facebook rasminya, mereka meminta pelanggan bersabar dan menjaga adab kerana mereka juga adalah manusia punyai perasaan dan bukannya mesin.

“Duit anda, kedai kami. Yang tak beradab, tak boleh bersabar, diharamkan datang. Kami manusia ada perasaan, bukan mesin. Jadi jaga adab. Yang suka menjerit-jerit dan biadab, pergi main jauh-jauh. Anda tidak dialu-alukan.

“Ayat atas ini untuk manusia yang biadab, tak reti faham situasi kedai yang sedang viral di hujung minggu,” tegasnya.

Rezeki bukan di tangan pelanggan

Mengulas lebih lanjut, pihaknya sudah berusaha keras untuk memberikan yang terbaik untuk semua dan meminta pelanggan tidak mengganggu staf mereka.

“Tolong jangan biadab dengan staff kami. Jika datang untuk mencari salah, eloklah jangan datang. Kami tak sudi terima anda. Bawalah duit anda ke kedai lain.

“Rezeki kami bukan di tangan anda. Rezeki kami Allah tulis, kami sikit pun tak rugi dan tak rasa rugi jika anda tak datang.

“Duit anda, kedai kami. Kita sama-sama ada hak. Jangan kerana bad review anda itu, anda tergelincir di Siratulmustaqim,” ujarnya.

Dalam masa sama, mereka menegaskan bahawa tiada keperluan untuk meminta maaf kepada ‘pembuli’ kerana ulasan buruk itu datangnya dari hati yang buruk dengan niat yang buruk.

Sumber: Facebook, X

Total
0
Shares
Total
0
Share