Duda mengaku bersalah curi setandan pisang, dipenjara 3 bulan | The Reporter

Duda mengaku bersalah curi setandan pisang, dipenjara 3 bulan

Gambar hiasan (A.I)

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang duda tiga anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan mencuri setandan pisang di sebuah kebun di Rengit pada 4 Januari lalu.

Tertuduh, Muhammad Fadil Ismail, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Fadil didakwa mencuri pisang jenis ‘rastali’ milik seorang lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit pada pukul 9.45 pagi, 4 Januari. Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya.

Tertuduh, Muhammad Fadil Ismail | Gambar: Berita Harian

Pemilik kebun itu sebelum ini kerap kehilangan pisang yang ditanamnya, dipercayai dicuri. Tidak tahan dengan kejadian itu, dia memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kebunnya untuk merakam perbuatan suspek.

Rakaman CCTV berjaya menunjukkan tertuduh sedang menebang pokok pisang sebelum melarikan buahnya. Pemilik kebun segera membuat laporan di Balai Polis Rengit pada hari kejadian, yang membawa kepada penahanan tertuduh pada hari sama.

Siasatan mendapati tertuduh, yang bekerja sebagai kelindan lori, telah bertanggungjawab atas kehilangan pisang milik mangsa.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip dan Pegawai Pendakwa Inspektor Ling Shao Shen, manakala Muhammad Fadil diwakili peguam Kamarularifin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sumber: Berita Harian

Related Posts