Duda dipenjara sebulan kerana mencuri 10 tin sardin, 4 botol pencuci mulut & 2 botol Nescafe | The Reporter

Duda dipenjara sebulan kerana mencuri 10 tin sardin, 4 botol pencuci mulut & 2 botol Nescafe

Gambar hiasan | Google Images

Seorang duda berusia 64 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri barang-barang dari sebuah kedai serbaneka di Parit Raja.

Jamaluddin Yusof, didakwa mencuri 10 tin sardin, empat botol pencuci mulut dan dua botol Nescafe pada 18 April lalu.

Tertuduh ditahan oleh pekerja kedai tersebut yang kemudian menemui barang-barang yang disyaki dicuri. Ketika disoal siasat, Jamaluddin mengaku melakukan perbuatan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara sepuluh tahun dan denda.

Dalam rayuannya, Jamaluddin memohon hukuman ringan kerana dia perlu menjaga anaknya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, memohon hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut. Hukuman yang dikenakan harus mengambil kira kerugian yang dialami oleh kedai tersebut dan juga sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Setelah mendengar hujahan dan rayuan dari kedua-dua pihak, Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada Jamaluddin, bermula dari tarikh dia ditahan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts