Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan dua lelaki dari Thailand yang menyatakan hasrat untuk membuka cawangan restoran mereka di Kuala Lumpur. Namun begitu, hasrat tersebut menerima reaksi kurang senang daripada segelintir netizen Malaysia.
Menerusi ruangan komen di Facebook pengusaha restoran berkenaan, ramai netizen menyuarakan bantahan terhadap konsep restoran yang dikatakan berunsur hiburan dan menampilkan lelaki berbadan sasa berpakaian tidak sopan serta menyerupai wanita.
Sebilangan netizen turut meluahkan kebimbangan bahawa budaya sedemikian akan mempengaruhi corak pemikiran dan nilai budaya masyarakat tempatan.

Baca juga:
- Video kembali tular, restoran di Iran enggan terima bayaran pelanggan China

- Pelajar lelaki Tingkatan Satu meninggal dunia di asrama

- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai

Susulan itu, dua lelaki berkenaan tampil menjelaskan bahawa mereka tidak berniat untuk membawa konsep tarian seperti yang diamalkan di Bangkok ke Malaysia.
“Kami memang sangat sukakan Malaysia. Namun, ingin kami tegaskan bahawa kami tidak akan mengadakan sebarang persembahan tarian seperti di Bangkok. Konsep tarian yang kami bawa di Thailand hanya bertujuan menggembirakan pelanggan yang datang ke restoran kami di sana,” jelas mereka.

Mereka turut memberi jaminan bahawa konsep sedemikian tidak akan dibawa masuk ke Kuala Lumpur.
“Sebaliknya, restoran yang ingin dibuka di Malaysia akan mengetengahkan sajian makanan asli Thailand yang terkenal, selaras dengan minat mendalam Dee dalam dunia masakan serta impiannya untuk memperkenalkan masakan Thai ke peringkat global.
“Restoran kami di Thailand, Staneemehoi, akan terus beroperasi seperti biasa. Sementara itu, di Malaysia, kami mahu memperkenalkan hidangan asli Thailand untuk dinikmati masyarakat tempatan. Destinasi pertama kami di luar negara ialah Kuala Lumpur,” tambahnya lagi.
Mereka turut menegaskan komitmen untuk menjaga sensitiviti masyarakat tempatan serta menjaga nama baik kedua-dua negara.
“Kami amat menghormati budaya Malaysia dan sentiasa menyayangi negara ini. Oleh itu, kami berjanji tidak akan melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan nama baik kami atau Malaysia,” tegas mereka.











