Dua akaun TikTok Kieda Crepe disekat selepas video tegur pelanggan tular | The Reporter

Dua akaun TikTok Kieda Crepe disekat selepas video tegur pelanggan tular

Kieda Crepe di premis jualannya bersama paparan akaun TikTok yang disekat
Dua akaun TikTok Kieda Crepe disekat serentak selepas video tegur pelanggan tular

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dua akaun rasmi TikTok milik usahawan Kieda Crepe dipercayai telah disekat oleh pihak platform itu susulan video konfrontasi yang tular melibatkan seorang wanita bernama Zamilah yang memberi ulasan negatif terhadap produknya.

Sebelum ini, Kieda memuat naik video memaparkan pertemuan secara bersemuka dengan Zamilah, yang juga merupakan pekerja sebuah kedai pesaing.

Baca: Kieda bersemuka dengan individu beri ulasan negatif produknya, pulangkan wang

Dalam video berkenaan, Kieda memulangkan semula wang pembelian sebanyak RM25 sambil menegur tindakan wanita itu yang dikatakan menjejaskan reputasi perniagaannya menerusi ulasan di status WhatsApp.

Tindakan tersebut bagaimanapun menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang menyokong pendekatan Kieda sebagai tegas bagi mempertahankan perniagaannya. Namun, tidak kurang juga yang mengecam cara penyampaian video itu yang dianggap keterlaluan dan memalukan individu tersebut secara terbuka.

Menurut hantaran Facebook Kieda malam tadi, kedua-dua akaun TikTok miliknya iaitu @kiedacrepepenang dan @kiedacrepepenang2 tidak lagi boleh diakses dan memaparkan notis “account banned.” Ramai pengguna percaya ia berpunca daripada laporan beramai-ramai terhadap video tersebut, sekaligus menimbulkan persoalan tentang batas kandungan yang sesuai dimuat naik di media sosial.

“Allah bagi ujian. Allahurobbi… Kuat kieda, kuat. 16 hari nak keluar Big Tour, Allah bagi ujian hebat. Dua akaun serentak kena banned, walhal 1 lagi akaun tak live dan tak buka apa pun. Semoga ada rezeki dapat balik, tolong doakan semua,” tulisnya.

Berdasarkan Garis Panduan Komuniti TikTok, kandungan yang berbentuk buli, gangguan, atau memalukan individu secara terbuka boleh dianggap sebagai pelanggaran, terutama jika ia mengundang serangan awam atau memperlihatkan individu tanpa kebenaran.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh TikTok mengenai sekatan tersebut. Sementara itu, netizen terus membahaskan isu berkenaan, sama ada tindakan tersebut wajar atau tidak dari sudut etika perniagaan dan penggunaan media sosial.

Related Posts