Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pempengaruh dan doktor selebriti, Dr Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say, menyelar tindakan seorang wanita penerima bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) yang tular baru-baru ini.
Menurut Dr Say, wanita berkenaan tidak sepatutnya bertindak sedemikian dan menyifatkan tindakannya sebagai tidak bersyukur terhadap pelbagai bentuk bantuan yang telah disalurkan kepadanya.
Berkongsi lanjut, beliau memaklumkan bahawa bilangan penerima zakat meningkat kepada 11,551 orang pada tahun 2024, bersamaan peningkatan sebanyak 4.45 peratus berbanding tahun 2023.
“Walaupun kutipan keseluruhan zakat di Wilayah Persekutuan meningkat sebanyak 10 peratus pada tahun 2024, iaitu RM1.13 bilion berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2023, namun pengagihan zakat pada tahun 2024 mencecah RM1.15 bilion.
“Maknanya apa? MAWIP mengalami kekurangan sebanyak RM20 juta. Kenapa jadi begitu?” soalnya.
Status asnaf bukan untuk diwarisi
Dr Say turut berkongsi pengalaman menghadiri mesyuarat bersama pihak MAWIP, di mana mereka memaklumkan bahawa peluang pekerjaan telah ditawarkan kepada golongan asnaf di sebuah pasar raya tanpa memerlukan sesi temuduga iaitu calon terus diterima masuk bekerja. Namun, menurutnya, perkara yang mengecewakan ialah kurang daripada lima orang daripada seluruh penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang hadir untuk peluang itu.
“Ada yang sampai mak ayah yang isikan borang, tetapi anak-anak langsung tidak muncul. Nampak tak di sini? Sesetengah asnaf sudah berasa terlalu selesa dengan bantuan zakat.
“Senang kata, mereka beranggapan status asnaf itu boleh diwarisi. Sama seperti wanita yang tular itu sudah menerima bantuan sejak 2018. Macam-macam bantuan telah diterima,” katanya lagi.
Guna saluran yang betul
Beliau turut menambah bahawa walaupun ramai menganggap beliau tidak berada dalam kesusahan seperti wanita tersebut, beliau tetap berpegang pada prinsip untuk menggunakan saluran yang betul sekiranya berada dalam situasi sedemikian.
“Ya, saya tidak berada dalam kasut akak itu. Tapi kalau saya di tempatnya, perkara pertama saya tidak akan buat ialah meminta pasangan merakam video untuk meluahkan rasa tidak puas hati atau kecewa.
“Sebaliknya, saya akan gunakan saluran yang betul dan berterima kasih atas apa jua bantuan yang telah saya terima. Saya juga akan berbincang dengan pasangan tentang perancangan keluarga, kerana saya rasa tidak adil untuk membesarkan anak dalam keadaan serba kekurangan,” tegasnya.
Dalam hantaran di TikTok, Dr Say turut berkongsikan sepucuk surat daripada seorang asnaf kepada pihak MAWIP yang meminta agar bantuan zakat dihentikan kerana mereka kini sudah mampu berdikari.
“Asnaf seperti inilah yang sepatutnya kita raikan dan viralkan, supaya seluruh Malaysia tahu bahawa status asnaf itu bukan sesuatu yang perlu diwarisi,” katanya.








