Dr Akmal persoal pihak lawan guna gambarnya di poster kempen PRK Ayer Kuning | The Reporter

Dr Akmal persoal pihak lawan guna gambarnya di poster kempen PRK Ayer Kuning

Dr Akmal Saleh
Poster yang menunjukkan gambar Dr Akmal digunakan di poster PRK Ayer Kuning. Gambar: FB Dr Akmal Saleh

Kempen politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini telah mencuri perhatian apabila satu poster kempen yang memaparkan wajah Dr Akmal Saleh bersama calon Barisan Nasional (BN) telah mencetuskan persoalan.

Walaupun Dr Akmal bukan calon di kawasan tersebut, tindakan meletakkan gambarnya pada poster yang turut disertakan dengan tulisan dalam bahasa Cina yang diterjemahkan sebagai “Undi BN = Undi Dr Akmal” telah menjadi topik perbincangan ramai.

Dalam hantaran yang dimuat naik ke media sosial, Dr Akmal dengan tegas mempertikaikan tindakan tersebut dan mengingatkan bahawa tiada siapa yang perlu merasa takut kepadanya, selagi mana mereka tidak menyentuh isu-isu sensitif yang tertera dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu agama, bangsa, dan kedudukan raja-raja Melayu.

“Kenapa perlu letak muka saya dan perlu letak tulisan Cina yang membawa maksud sedemikian? Takut ke dengan Dr Akmal ni?” soal beliau.

Jangan sentuh isu 3R

Namun begitu, beliau memberi amaran sekiranya terdapat sebarang cubaan menyentuh isu-isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan tanah air, beliau tidak akan berdiam diri.

“Tetapi kamu berani sentuh sahaja walau sedikit, tidak akan kami berganjak seinci sekalipun untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air kita,” tegas beliau.

Dr Akmal turut menyatakan rasa kecewa terhadap pihak yang sepatutnya memahami undang-undang, namun bertindak menggunakan retorik dalam kempen politik.

“Ingatkan peguam faham perlembagaan, tetapi sayang retorik juga rupanya,” katanya secara sinis.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru para pengundi di DUN Ayer Kuning agar tidak ragu untuk mengundi Barisan Nasional yang menurutnya telah terbukti konsisten dalam menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Siapa sekalipun yang sentuh, tidak kira kawan mahupun lawan, kami akan lawan. Kempenlah secara sihat ya,” katanya.

Related Posts